Rabu, 21 Ogos 2019 | 3:10pm

Sebutan semula kes tanah runtuh Bukit Kukus 27 September

GEORGE TOWN: Kes syarikat projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus yang didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga mengorbankan sembilan pekerja dalam kejadian tanah runtuh tahun lepas akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini, pada 27 September depan.

Hakim Mazdi Abdul Hamid, hari ini, menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan peguam syarikat Yuta Maju Sdn Bhd, S. Kanesh, bahawa mereka masih lagi menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara berhubung permohonan representasi untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Kanesh yang memaklumkan mahkamah yang sama pada 16 Julai lepas untuk mengemukakan permohonan representasi itu sudah menghantar permohonan berkenaan pada 8 Ogos lalu, dan kini masih menunggu keputusan permohonan itu.

Yuta Maju yang diwakili pengarahnya, Osmera Mamat, mengaku tidak bersalah pada 2 Julai lepas terhadap tiga pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat yang dikemukakan pegawai pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang, Norliza Abu Othman.

Dalam pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan yang dalam pembinaan pada pukul 8.30 malam, 11 Oktober 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Yuta Maju yang didakwa sebagai majikan gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja ‘backfill’ atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada pukul 1.48 tengah hari, 19 Oktober 2018 dan sembilan orang maut.

Kedua-dua pertuduhan ini dibaca di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Syarikat tersebut adalah kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi projek itu turut menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 29(2) akta yang sama kerana gagal melantik seorang pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – BERNAMA

PENGARAH syarikat Yuta Maju Sdn Bhd, Osmera Mamat keluar dari Mahkamah Sesyen setelah mahkamah menetapkan 27 Sept ini sebagai sebutan semula kes keputusan representasi yang dipohon oleh syarikat tersebut. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X