Rabu, 21 Ogos 2019 | 3:23pm
- Foto hiasan

Permohonan semakan kehakiman Sundra Rajoo pada 15 Oktober

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 15 Oktober ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman difailkan bekas pengarah Asian International Arbitration Centre (AIAC), Datuk Dr N Sundra Rajoo, untuk mencabar haknya mendapat imuniti daripada apa-apa pertuduhan.

Peguam K Shanmuga yang mewakili Sundra Rajoo, 63, ketika ditemui media, berkata Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan tarikh itu ketika prosiding pengurusan kes dalam kamarnya, yang turut dihadiri Peguam Persekutuan M Kogilambigai yang bertindak bagi Kementerian Luar, Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia selaku responden.

Shanmuga berkata, mahkamah juga membenarkan permohonan anak guamnya untuk memasukkan alasan tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakiman Sundra Rajoo.

“Peguam Negara juga tidak membantah pindaan itu, di mana kami cuma menambah beberapa alasan lagi,” katanya.

Pada 23 Mei tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan Sundra Rajoo untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar hak mendapat imuniti daripada sebarang pertuduhan.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel tiga hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Sundra Rajoo terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Mac tahun ini yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman mengenai hak untuk mendapat imuniti daripada sebarang pendakwaan.

Pada 4 Mac lalu, Sundra Rajoo, yang ketika itu ketua AIAC daripada 2010 hingga tahun lalu, mengemukakan pengecualian bagi prosiding kaji semula undang-undang di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi memohon satu pengisytiharan bahawa beliau mempunyai imuniti sebagai seorang bekas pegawai berjawatan tinggi iaitu pengarah AIAC (pusat berkenaan) atas tindakan yang dilakukan dalam kapasiti beliau sebagai pegawai.

Sundra Rajoo juga memohon satu perintah bagi peruntukan menghalang Peguam Negara daripada meletakkan sebarang dakwaan atau membawa sebarang prosiding ke mana-mana mahkamah di Malaysia terhadap beliau berhubung dengan sebarang tindakan yang dilakukannya dalam kapasiti beliau sebagai pengarah AIAC.

Beliau juga memohon satu perintah bagi peruntukan menghalang SPRM daripada menangkap, menahan, menyerahkan sebarang surat waran atau lain-lain ataupun mengemukakan sebarang prosiding undang-undang atas apa-apa terhadapnya berhubung apa-apa yang dilakukan beliau dalam kapasiti sebagai pengarah AIAC, dan terutama lagi berhubung sebarang tindakan atau pengabaian olehnya semasa tempoh memegang jawatan sebagai pengarah pusat itu yang berkaitan dengan harta, dana atau dokumen pusat berkenaan.

Pada 26 Mac, Sundra Rajoo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dana AIAC berjumlah lebih RM1 juta, tiga tahun lalu.

Berita Harian X