Rabu, 21 Ogos 2019 | 3:28pm

Polis bongkar sindiket edar dadah di pusat hiburan keluarga

SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya membongkar taktik baharu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan pusat hiburan keluarga atau ‘Family Karaoke’ sebagai lokasi mengedar bahan terlarang itu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, berkata sindiket berkenaan berjaya dibongkar menerusi beberapa serbuan termasuk di sebuah pusat hiburan keluarga di Klang pada 18 Ogos lalu.

“Pada jam 12.30 tengah malam Ahad lalu, polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menyerbu sebuah pusat hiburan keluarga di kawasan Batu Tiga Lama, Klang dan menahan seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

SEBAHAGIAN dadah yang di rampas dalam operasi di Petaling Jaya dan Shah Alam baru-baru ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. NSTP/Saddam Yusoff
SEBAHAGIAN dadah yang di rampas dalam operasi di Petaling Jaya dan Shah Alam baru-baru ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. NSTP/Saddam Yusoff

“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan berusia 42 tahun di Setia Alam dan menemukan pelbagai jenis dadah iaitu 4.67 kilogram (kg) pil ecstacy, 0.23 kg atau 800 biji pil Eramin 5 dan Ketamin seberat 0.5 kg.

“Nilai rampasan dadah berkenaan adalah sebanyak RM463,420. Polis juga turut menyita sebuah kereta, wang tunai serta telefon bimbit bernilai RM46,912,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam), hari ini.

Beliau berkata, pada 19 Ogos lalu, satu lagi aktiviti pengedaran dadah berjaya dibongkar dengan penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di Damansara.

Katanya, susulan penangkapan berkenaan polis berjaya merampas sejumlah dadah di rumah suspek di Petaling Jaya.

“Kita berjaya merampas 1.65 kg ganja, 1.44 kg syabu, 0.45 kg (1,376 biji) pil ecstacy, 0.48 kg (33 paket) serbuk ecstacy dan 0.13 kg (450 biji) Erimin 5.

“Nilai rampasan dadah adalah RM237,806 manakala nilai sita adalah RM8,300. Kita percaya suspek juga menjadikan pusat hiburan keluarga sebagai lokasi pengedaran,” katanya.

Ab Rashid berkata, suspek bagi kedua-dua kes berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah dan dipercayai aktif sejak empat ke enam bulan yang lalu.

Katanya, suspek kes pertama direman selama enam hari bermula 19 Ogos lalu manakala suspek kes kedua direman tujuh hari bermula semalam hingga 26 Ogos.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

AB. RASHID (tiga dari kiri) menunjukan dadah yang di rampas dalam operasi di Petaling Jaya dan Shah Alam baru-baru ini dengan jumlah kesuluruhan RM701,226.00 ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. NSTP/Saddam Yusoff
AB. RASHID (tiga dari kiri) menunjukan dadah yang di rampas dalam operasi di Petaling Jaya dan Shah Alam baru-baru ini dengan jumlah kesuluruhan RM701,226.00 ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. NSTP/Saddam Yusoff
Berita Harian X