Rabu, 21 Ogos 2019 | 8:20pm
- Foto hiasan

Tommy dakwa permohonan komital keluarga Adib tidak lengkap

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa permohonan komital keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas, berkenaan prosiding inkues kematian anggota bomba itu, adalah tidak lengkap.

Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy, yang mewakili Tommy, berkata pemohon tidak memberitahu mahkamah berkenaan perincian afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara yang dikatakan mengganggu inkues serta menghina mahkamah.

Afidavit itu difailkan pada 3 April lalu dan disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah, menyatakan bahawa kematian Muhammad Adib, 27, bukan akibat dipukul oleh mana-mana pihak.

“Mereka (pemohon) sepatutnya memberikan maklumat terperinci berkenaan afidavit peguam negara yang didakwa mengganggu prosiding inkues Adib,” katanya ketika memberi hujahan di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Terdahulu, peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohd Haniff Khatri Abdulla, berkata Tommy selaku Peguam Negara, tidak boleh membuat keputusan berhubung punca kematian Muhammad Adib.

Berikutan itu, afidavit terbabit dilihat mempunyai kriteria campur tangan, pendirian bersifat pra-matang dan menindas peguam Syazlian Mansor sebagai peguam bela dan peguam cara keluarga anggota bomba itu.

“Ini adalah asas dan mahkamah perlu rujuk terhadap kenyataan yang dikeluarkan secara peribadi oleh Peguam Negara,” katanya.

Berikutan itu, selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Rofiah menetapkan Selasa depan untuk menentukan sama ada prosiding komital terbabit dapat dimulakan atau sebaliknya.

Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Berita Harian X