Khamis, 22 Ogos 2019 | 9:53am

Wei Liang dituduh membunuh pengurus bank

KAJANG: Seorang pekerja teknologi maklumat didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir, di Lebuhraya Utara Selatan, pada 10 Ogos lalu.

Yew Wei Liang, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan diambil daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Wei Liang didakwa menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial, 29, yang juga pengurus bank, di Kilometer 293.6, Lebuhraya Utara Selatan pada jam 1 tengah hari hingga 2 petang, pada 10 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kira-kira 30 wakil media pelbagai agensi hadir memenuhi perkarangan mahkamah sejak jam 7 pagi.

Tertuduh yang memakai baju T hitam tiba di mahkamah dengan trak polis jam 9 pagi dengan diwakili peguam Varghese Onny dan S Selvam.

Terdahulu, Selvam memberitahu mahkamah yang anak guamnya mendakwa didera serta mengalami kecederaan pada tubuhnya dan pada 13 Ogos lalu, tertuduh dibawa ke Hospital Kajang.

“Sepanjang tempoh reman, anak guam saya dipaksa oleh polis supaya membuat pengakuan atas kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sedangkan Wei Liang memberitahu ia hanya kemalangan jalan raya,” katanya.

Selvam juga memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh untuk mendengar aduan yang dikemukakan anak guam mereka mengikut Seksyen 131 Kanun Prosedur Jenayah.

Sehubungan itu, Nor Afidah menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes bagi menyerahkan laporan termasuk mendengar aduan tertuduh berhubung isu yang dibangkitkan.

Afidah juga mengarahkan peguam mengemukakan laporan hospital berkaitan kecederaan yang didakwa dialami tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Siti Noor Hafizan Zakaria.

BH sebelum ini melaporkan, Syed Muhammad Danial, yang maut dilanggar selepas terbabit dalam perselisihan faham dengan tertuduh.

Kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek yang berlaku selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.

Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre pada hari kejadian.

Wei Liang (tengah) tiba di Mahkamah Kajang, bagi menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X