Khamis, 22 Ogos 2019 | 10:05pm

Jangan hadir perhimpunan di Brickfields - Polis

KUALA LUMPUR: Polis menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan yang dirancang di Brickfields, petang Sabtu ini.

Perkara itu dimaklumkan Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ia susulan kegagalan penganjur untuk mengemukakan notis yang lengkap serta tidak memenuhi keperluan undang-undang.

“Polis menerima notis pemakluman daripada penganjur mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung hasrat mengadakan satu perhimpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Other Races’ pada jam 2 petang, 24 Ogos di Water Fountain Little India, Brickfields.

“Bagaimanapun, notis yang dikemukakan didapati tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai perhimpunan ini bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat sentiasa terpelihara,” katanya.

Berita Harian X