Jumaat, 23 Ogos 2019 | 6:41pm

Penuntut Malaysia di Amerika meninggal dunia ketika mendaki, berkhemah

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut Malaysia meninggal dunia di Ohio, Amerika Syarikat (AS) selepas 10 hari dilaporkan hilang ketika mendaki dan berkhemah di kawasan hutan.

Afifi Hakimi Hussen, 23, yang belajar di Ohio State University, AS dikatakan pergi ke hutan berkenaan seorang diri dan setakat ini, belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian.

Berita kematian Afifi itu dimaklumkan kepada keluarga mangsa yang tinggal di Senawang, Negeri Sembilan, awal pagi semalam.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi di laman sosial, mangsa yang sedang menuntut dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu dijangka akan menamatkan pengajiannya pada Disember ini.

Ketika ini, ibu dan bapa mangsa yang bekerja sendiri dikatakan sedang berusaha mendapatkan visa kecemasan daripada kedutaan AS di sini, sebelum berangkat ke sana untuk menguruskan jenazah.

Afifi, anak bongsu daripada tiga beradik dikatakan baru saja menyambut ulang tahun kelahiran ke-23 pada 13 Ogos lalu.

Sebelum ini, Afifi yang lebih mesra dengan panggilan Fifi dalam kalangan keluarga menuntut di Kolej Pendidikan Intec, Shah Alam dan ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyambung pengajian di AS.

Sejak belajar di Ohio pada 2016, Fifi tidak pernah pulang ke tanah air dan kehilangannya cukup dirasai ahli keluarganya selepas tiga tahun tidak bertemu.

Beberapa individu dipercayai ahli keluarga dan kenalan rapat Fifi memuat naik status serta luahan perasaan mereka selepas menerima berita menyedihkan itu.

Antaranya; ““Allah lebih menyayangimu. Semoga dipermudahkan urusan, hilang kat hutan lebih 10 hari lepas ‘hiking’. Semoga Fifi ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman... rindu kat Fifi..’

‘Al fatihah untuk anak saudara sepupu kesayangan makcik, Afifi Hakimi. Dah lebih 3 tahun tak jumpa since fifi belajar kat Ohio, US. Bila dapat khabar fifi meninggal, susah makcik nak percaya”.

Ketika ini, ahli keluarganya juga sedang menunggu maklumat terkini laporan bedah siasat punca kematian Fifi dan mereka dimaklumkan, JPA serta kedutaan Malaysia di sana sedang membantu urusan berkaitan.

Bagaimanapun, difahamkan, sehingga petang ini, ibu dan bapa Fifi masih belum mendapat kelulusan visa dan berharap mana-mana pihak dapat membantu mereka mempercepatkan proses permohonan visa kecemasan.

Pejabat JPA di ibu negara ketika dihubungi mengesahkan mengenai insiden itu dan berkata, jenazah mangsa sudah selamat dikebumikan di sana.

Berita Harian X