Sabtu, 24 Ogos 2019 | 8:25am
KEADAAN kereta jenis Honda Accord yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 38.8 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik, tengah malam tadi. - Foto ihsan PDRM

Pesara polis, cucu maut kereta tembung treler

GERIK: Seorang pesara polis dan cucunya berusia lima tahun maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 38.8 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, tengah malam tadi.

Nahas kira-kira jam 12 tengah malam membabitkan kereta jenis Honda Accord dengan treler membawa muatan tong gas itu menyebabkan kedua-dua mangsa terkorban di lokasi kejadian.

Ibrahim Osman, 58, beralamat di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, meninggal dunia akibat parah di kepala.

Cucunya, Fahrin Haris Abdullah, 5, yang tercampak keluar dari kereta terbabit juga meninggal dunia akibat parah di kepala.

TRELER membawa muatan tong gas yang terbabit nahas dengan kereta Honda Accord di Kilometer 38.8 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, tengah malam tadi. - Foto ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Gerik menghala ke Jeli, manakala treler dari arah bertentangan.

Beliau berkata, kereta mangsa dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian menyebabkannya berlanggar dengan treler terbabit.

“Hujan lebat dan jalan basah dipercayai menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaannya sebelum memasuki laluan bertentangan. Treler berkenaan pula dipercayai gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Gerik, untuk bedah siasat, manakala pemandu treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X