Sabtu, 24 Ogos 2019 | 1:57pm

Dua penganjur perhimpunan di Brickfields dibebaskan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang ditahan berhubung penganjuran perhimpunan bantahan tulisan khat di Little India, Brickfields, di sini, petang semalam, dibebaskan tengah hari tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata dua-dua mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 1 tengah hari tadi.

“Mereka dibebaskan selepas siasatan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA), dibuat ke atas mereka.

“Selain itu siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 9(5) akta yang sama,” katanya hari ini.

Beliau sebelum ini turut meminta orang ramai untuk tidak menyertai perhimpunan berkenaan kerana ianya melanggar undang-undang.

Katanya, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk membuat tangkapan terhadap mereka yang masih berdegil.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis pada masa ini sudah menutup laluan masuk ke Jalan Brickfields, menerusi Jalan Travers, berhampiran bangunan Bank Rakyat.

Pegawai dan anggota polis juga turut mengawasi keseluruhan kawasan Little India bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X