Sabtu, 24 Ogos 2019 | 4:45pm
PENGANJUR Rally Puratchi, K.Umagandhan (dua kanan) bersama peguam, Dinesh Muthal (dua kiri) menjawab soalan wartawan pada sidang media di Restoran Madras Jalan Ipoh. - Foto Rosdan Wahid
PENGANJUR Rally Puratchi, K.Umagandhan (dua kanan) bersama peguam, Dinesh Muthal (dua kiri) menjawab soalan wartawan pada sidang media di Restoran Madras Jalan Ipoh. - Foto Rosdan Wahid

Puratchi tiada kena mengena dengan himpunan anti Zakir Naik

KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan bantahan tulisan jawi di Little India, Brickfields , semalam, Puratchi menegaskan bahawa mereka tiada kena mengena dengan penganjuran satu lagi perhimpunan anti Dr Zakir Naik yang dijadual berlangsung di lokasi sama, hari ini.

Ketua Penyelaras Puratchi, K Umagandhan, berkata ini kerana timbul kekeliruan dan salah faham dengan mendakwa kedua-dua perhimpunan itu saling berkaitan, sedangkan ia dianjurkan oleh kumpulan berbeza.

Katanya, himpunan semalam hanyalah untuk menyatakan bantahan mengenai pelaksanaan tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), selain menjelaskan tiada sebarang unsur politik mahupun kebencian serta agama dikaitkan dalam perhimpunan itu.

Beliau berkata, permohonan dibuat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 14 Ogos lalu untuk mendapatkan permit bagi menggunakan lokasi berkenaan untuk acara terbabit, namun mendakwa menerima jawapan balas saat akhir memaklumkan ia tidak diluluskan, iaitu pada hari berlangsungnya perhimpunan.

“Jawapan saat akhir itu menyebabkan pihak kami tidak sempat memaklumkan kepada peserta kerana kebanyakan mereka sudah berada di lokasi (Brickfields).

“Justeru, saya bersama Tan Boon Tak, yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina terpaksa turun ke lokasi untuk memaklumkan kepada peserta bagi tujuan menyuraikan himpunan, bukan untuk berucap selain mengelakkan ada pihak lain mengambil kesempatan atas perhimpunan terbabit.

“Kami maklum dan akur arahan polis untuk tidak meneruskan himpunan kerana tidak memenuhi syarat dan diberikan tempoh 10 minit untuk memberitahu peserta supaya bersurai ,” katanya pada sidang media di sebuah restoran di sini, hari ini.

Sementara itu, peguam mewakili gerakan terbabit, Dinesh Muthal, berkata himpunan semalam berlangsung dalam suasana aman.

Katanya, pasukannya bersama Umagandhan dan Book Tak kemudian hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk menyerah diri sebelum ditahan untuk diambil keterangan malam tadi.

“Kedua-dua mereka (Umagandhan dan Boon Tak) diambil keterangan sehingga jam 12 tengah malam dan mereka memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang proses itu berjalan.

“Selepas semuanya selesai, mereka dibebaskan jam 1 tengah hari tadi,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim sebelum ini memaklumkan, dua individu yang juga penganjur himpunan itu dibebaskan selepas siasatan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA), dibuat ke atas mereka.

Perhimpunan ‘Say No 2 Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Races’ yang dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang tadi juga dibatalkan selepas penganjur gagal mendapatkan kebenaran daripada polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mazlan yang membuat tinjauan di lokasi berterima kasih kepada peserta yang akur dengan nasihat dikeluarkan untuk tidak menghadiri perhimpunan terbabit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X