Isnin, 26 Ogos 2019 | 3:03pm
Najib dan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Najib dan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Najib dibenar cabar kelayakan Sri Ram ketuai pendakwaan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini membenarkan rayuan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram yang mereka hadapi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Lau Bee Lan dan Datuk Has Zanah Mehat memutuskan terdapat merit dalam rayuan yang difailkan Najib dan peguamnya, Muhammad Shafee.

Hasnah dalam penghakimannya, berkata sifat dan bidang kuasa semakan kehakiman adalah berbeza serta berasingan.

“Isu berhubung pertindihan permohonan tidak berbangkit di sini. Terdapat isu yang perlu dibincangkan dan ia tidak remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi, esok.

Pada 7 Ogos lalu, panel tujuh anggota hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapi Najib.

Najib dan Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Februari tahun ini yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes mereka.

Muhammad Shafee mewakili Najib selain mewakili dirinya sendiri dalam prosiding kes itu hari ini.

Najib dan Muhammad Shafee memfailkan semakan kehakiman secara berasingan pada Disember tahun lalu dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, kerajaan Malaysia dan Sri Ram selaku responden.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan mengatakan surat pelantikannya tidak sah.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan memohon suatu perintah untuk melarang beliau (Sri Ram) daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka termasuk berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X