Selasa, 27 Ogos 2019 | 1:53pm
PENOLONG Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin
PENOLONG Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Kertas siasatan SRC diserah terus kepada Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu kertas siasatan SRC International Sdn Bhd (SRC) diserahkan terus kepada Peguam Negara, tanpa melalui timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain dalam keterangannya berkata, beliau selaku pegawai penyiasat, menghantar sendiri kertas siasatan daripada SPRM kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Rosli, 54, berkata tiada mana-mana timbalan pendakwa raya SPRM mengkaji kertas siasatan yang dibuka pada 2016 itu berikutan beliau menjadi perantara antara SPRM dan Peguam Negara.

Saksi ke-57 pendakwaan itu berkata, sebarang syor dan saranan daripada pihak SPRM dibuat oleh Pengarah BOK SPRM, Datuk Bahri Mohammad Zin sebelum kertas siasatan itu dikembalikan semula kepada Mohamed Apandi.

Dalam soal balas Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pegawai penyiasat itu didesak beberapa kali dengan soalan sama, namun beliau tetap menjelaskan tiada mana-mana pendakwaan SPRM memperhalusi kertas siasatan itu.

Ketika Muhammad Shafee bertanya berhubung kepastiannya itu, Rosli berkata beliau menyerah kertas siasatan kepada Mohamed Apandi memandangkan ia adalah ‘kes istimewa’.

Muhammad Shafee: Saya katakan ini adalah tidak betul kerana saya pernah menemubual beberapa timbalan pendakwa raya dari SPRM.

Rosli: Kertas siasatan itu selepas diminit oleh pengarah BOK Datuk Bahri, saya sendiri serahkan kepada Peguam Negara pada 31 Disember 2015 dan ia dikembalikan kepada SPRM pada 18 Januari 2016. Kami kemudian menjawab pada 22 Januari 2016 dan hantar terus kepada Peguam Negara. Saya tak melalui mana-mana pendakwaan.

Rosli dalam sesi soal balas turut bersetuju dengan Muhammad Shafee bahawa menerusi kertas siasatan pada 2015 terdapat beberapa nama dicadangkan untuk didakwa atas kesalahan pecah amanah dana SRC.

Mereka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas Pengarah SRC, Datuk Suboh Md Yassin.

Rosli berkata, terdapat juga cadangan pendakwaan terhadap Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Dr Shamsul Anwar Sulaiman dan Pengarah Kewangan IPSB, Abdul Aziz Ismail.

Katanya, cadangan itu adalah pertuduhan di bawah Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Cadangan ini adalah untuk (dakwaan) kesalahan yang berkaitan dengan pemindahan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

“Dakwaan ini adalah jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015,” katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais tidak terbabit dalam siasatan kes SRC di hadapi Datuk Seri Najib Razak.

“Morais tidak terbabit langsung dalam siasatan kes itu,” katanya.

Ditanya Muhammad Shafee sama ada Morais terbabit dalam siasatan kes membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), saksi pendakwaan ke-57 itu menjawab, ‘Tidak tahu’.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram membantah soalan itu kerana ia tiada kena-mengena dengan pertuduhan kes SRC.

Muhammad Shafee berkata, soalan itu bukan saja untuk memastikan anak guam saya dibebaskan tetapi membersihkan namanya kerana terdapat dakwaan fitnah bahawa Najib terbabit dalam pembunuhan Morais.

Muhammad Shafee kemudian memberitahu mahkamah, pihaknya akan mengemukakan isu terbabit dalam hujahan pihak pembelaan.

Rosli juga tidak bersetuju dengan cadangan terakhir Muhammad Shafee bahawa tiada kejujuran dalam beberapa bahagian sepanjang beliau memberikan keterangan.

Muhammad Shafee: Adakah kamu setuju apabila saya menyatakan keterangan kamu sebagai saksi tidak sepenuhnya jujur?

Rosli: Sama sekali tidak Yang Arif.

Berita Harian X