Rabu, 28 Ogos 2019 | 4:39pm
BEBERAPA pondan dicekup kerana berpakaian wanita dalam satu serbuan di Stesen Keretapi Alor Setar. NSTP/Ihsan JAIK.

Mak nyah tunggu pelanggan bertempiaran kena serbu

ALOR SETAR: Sekumpulan mak nyah yang sedang menunggu pelanggan di Jalan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Alor Setar bertempiaran lari sebaik menyedari lokasi itu diserbu pihak berkuasa malam tadi.

Serbuan jam 11 malam itu disertai sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bersama anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hasil aduan dan maklumat awam.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutali, berkata pihaknya berjaya menahan lima lelaki yang berpakaian wanita di kawasan itu.

Beliau berkata, empat daripadanya lelaki beragama Islam dan seorang lagi bukan Islam yang berusia antara 33 hingga 53 tahun bekerja di kawasan terbabit.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, ada mak nyah warga negara Thailand, selain seorang lagi dari berasal dari Johor, manakala tiga lagi penduduk tempatan.

“Kita percaya mereka berada di situ untuk menunggu pelanggan dan melakukan perbuatan yang tidak sopan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata semuanya dibawa ke pejabat JAIK untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana lelaki berlagak seperti wanita.

Katanya, sabit kesalahan setiap individu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita akan melakukan operasi berterusan di kawasan itu bagi memastikan aktiviti tidak sihat di situ berkurangan,” katanya.

Berita Harian X