Rabu, 28 Ogos 2019 | 6:35pm

Bekas pembantu tadbir hadapi 146 tuduhan seleweng wang biasiswa

AYER KEROH: Bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), terpaksa berdiri hampir sejam di dalam kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, bagi mendengar 146 pertuduhan ke atasnya membabitkan kes pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah berjumlah lebih RM2.4 juta.

Tertuduh, Mohd Hanafi Ismail, 31, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu bertugas sebagai pembantu tadbir dan mempunyai penguasaan harta iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah di negeri ini melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta terbabit apabila dengan curang menyalahgunakannya.

Kesalahan itu dilakukan secara berperingkat antara 23 Januari 2017 hingga 21 Disember tahun lalu, yang membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.404 juta.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Unit Kewangan TAPEM di Bangunan Kota Cemerlang, di sini.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat dan Nik Haslinie Hashim.

Pendakwa mencadangkan jumlah jaminan RM500,000 dengan syarat tambahan supaya pasport diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melapor diri setiap bulan ke pejabat SPRM.

Tertuduh diwakili peguam Emirul Sarifudin Nor Azmi, Kenneth Kassa dan Ahmad Hafiz A Bakar.

Mohd Nasir kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM250,000 bagi semua 146 pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mohd Nasir juga memerintahkan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri setiap bulan ke pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 2 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Tertuduh ditahan reman oleh SPRM pada 12 Januari lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mohd Hanafi (tengah) mengaku tidak bersalah atas 146 pertuduhan penyelewengan wang biasiswa hampir berjumlah RM2.4 juta. - NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X