Khamis, 29 Ogos 2019 | 12:49pm
Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman denda RM40,000 terhadap Syarikat Wego Malaysia Construction Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Lim Kim Teong, 40, selepas mengaku salah gagal dan cuai dalam menyediakan persekitaran kerja yang selamat hingga mengakibat  kematian dan kecacatan kekal kepada pekerja. - Foto Muhaizan Yahya

Tiga syarikat didenda kerana cuai, abai keselamatan

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM40,000 dan RM20,000 terhadap tiga syarikat selepas wakilnya mengaku salah kerana gagal dan cuai dalam menyediakan persekitaran kerja yang selamat hingga mengakibatkan kematian dan kecacatan kekal kepada pekerja.

Bagi pertuduhan pertama, Syarikat Sedia Engineering Sdn Bhd sebagai majikan didakwa gagal memastikan tahap keselamatan, kesihatan dan kebajikan kepada pekerja hingga mengakibatkan seorang pekerja maut manakala dua lagi pengsan dalam kejadian pada jam 7.20 malam, 25 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, syarikat berkenaan didakwa gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja di ruang terkurung di Kilometer (KM) 6 Lebuh Raya Ipoh Lumut berhampiran Stesen Minyak Petronas hingga mengakibatkan seorang pekerja warga Bangladesh maut, manakala dua lagi pengsan akibat terhidu gas.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama yang sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Ira Azreen Mohamad di hadapan Hakim, Norashima Khalid, manakala syarikat berkenaan diwakili Pengarah Urusan syarikat, S Subramaniam, 59.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM40,000 atau penjara selama sembilan bulan jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Wego Malaysia Construction Sdn Bhd turut didakwa mengikut seksyen dan akta sama di mahkamah sama kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja mengangkat menggunakan kren bergerak hingga mengakibatkan kemalangan maut.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.20 tengah hari 24 April lalu ketika kerja membina dan menyiapkan 175 unit kediaman di Mukim Bota, Bandar Seri Iskandar dekat sini.

Pendakwaan bagi kes itu dijalankan Pegawai Pendakwa JKKP, Mohd Shazami Ishak manakala syarikat berkenaan diwakili Pengarah Urusannya, Lim Kim Teong, 40.

Norashima turut menjatuhkan hukuman denda RM40,000 atau penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.

Dalam kes ketiga, syarikat Cew Sin Plastic Pipe Sdn Bhd didakwa di mahkamah sama mengikut seksyen dan akta sama kerana gagal mengadakan prosedur kerja selamat hingga mengakibatkan pekerja syarikat itu, Muhammad Zulhelmi Kamaruddin, 25, cedera dan mengalami kecacatan kekal.

Syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.30 petang pada 29 Mac lalu di premis mereka selepas didapati gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi kerja pemotongan paip ‘UPVC’ di bahagian pengeluaran hingga mengakibatkan mangsa mendapat kemalangan dan putus ruas jari telunjuk kanan, jari tengah tangan kanan, terputus saraf serta mengakibatkan hilang deria rasa jari berkenaan.

Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP, Muzaffar Anwar Hussin manakala syarikat diwakili Pengurus Pentadbirannya, Lee Ngean Hon, 40.

Norashima kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 kepada syarikat terbabit atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda.

Ketiga-tiga wakil syarikat membayar denda berkenaan.

Berita Harian X