Khamis, 29 Ogos 2019 | 1:41pm

Mayat dalam beg pakaian pengurus restoran

SHAH ALAM: Mayat wanita yang ditemui dalam sebuah beg pakaian dalam sebuah parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, Shah Alam, awal pagi Selasa lalu, disahkan seorang pengurus restoran.

Justeru, polis sedang mencari suami mangsa yang berusia 79 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata berdasarkan kepada semakan cap jari mangsa dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), wanita itu dikenal pasti sebagai Tan Siew Mee atau dikenali juga sebagai Emily, yang berusia 52 tahun.

Katanya, siasatan mendapati wanita itu yang berasal dari Pokok Sena, Kedah, bekerja di sebuah restoran di Subang Jaya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati wanita itu mati akibat kecederaan daripada beberapa tikaman di abdomen selain mempunyai kesan kelar di lehernya, dipercayai dengan menggunakan senjata tajam.

“Proses bedah siasat yang dilakukan pada 27 Ogos di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mendapati tubuh mangsa mempunyai 13 kesan tikaman pada dada serta perut dan kesan kelar di leher.

“Siasatan juga mendapati wanita ini mempunyai seorang suami yang berusia 79 tahun, Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada waris atau suami datang buat pengecaman atau menuntut mayat mangsa,” katanya pada sidang media, di sini, pagi ini.

Baharudin berkata, pihak polis juga tidak dapat menghubungi suami mangsa yang tidak bekerja berikutan lelaki itu tiada di rumah sewa pasangan berkenaan di sebuah kondomium di USJ, Subang Jaya.

Beliau berkata, sebelum mayat mangsa ditemui, rakan mangsa ada membuat laporan polis pada 24 Ogos lalu di Balai Polis USJ 8 selepas wanita itu gagal dihubungi.

Katanya, kali terakhir rakannya dihubungi mangsa beberapa hari sebelum itu yang memintanya menghubungi suami mangsa.

“Bagaimanapun, rakan mangsa gagal menghubungi Siew Mee dan suaminya, sebelum dia membuat laporan polis,” katanya.

Baharudin berkata, polis kini sedang mengesan Ah Kee yang memegang MyKad bernombor 400310-07-5271 manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes terbabit boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohammad Daniel Lee Abdullah, 03-55202222 atau 019-6820550 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Isnin lalu, media melaporkan mayat seorang wanita disyaki dibunuh ditemui dalam parit di Persiaran Kuala Selangor, Seksyen 27, Shah Alam.

Mayat mangsa yang disumbat dalam beg pakaian ditemui orang awam kira-kira jam 6 pagi sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menunjukkan foto mangsa dan suaminya yang dicari untuk bantu siasatan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam - Foto NSTP/Sairen Nafis
Berita Harian X