Khamis, 29 Ogos 2019 | 2:20pm

Belasah isteri selepas disyaki curang

PENAMPANG: Seorang lelaki bertindak mencekik dan menampar isterinya sebelum membelasah wanita itu tanpa belas kasihan selepas mengesyaki mangsa curang dengan lelaki lain dalam kejadian di Pavilion Bundusan, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, suspek warga Pakistan berusia 20 tahun turut mengugut mahu membunuh mangsa.

Berikutan itu, mangsa berusia yang berusia 18 tahun membuat laporan di Balai Polis Penampang, di sini kerana bimbang dengan keselamatannya dan keluarga.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata kejadian berlaku selepas pasangan suami isteri itu bertengkar apabila suspek menuduh isterinya curang dengan lelaki lain.

Katanya, mangsa menafikan tuduhan itu, namun suspek terus bertindak mencekik leher isterinya sambil mengugut mahu membunuhnya.

“Suspek turut menampar muka isterinya bertalu-talu sebelum menolak mangsa hingga terjatuh. Mangsa yang bimbang keselamatan diri kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, mangsa mengadu sakit di bahagian muka dan badan dan sudah dirujuk ke hospital untuk rawatan.

“Suspek berjaya ditahan selepas mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Berita Harian X