Khamis, 29 Ogos 2019 | 7:27pm
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Profesor Datuk Mahamad Naser Disa (dua dari kiri). - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Mahkamah benar Mahamad Naser tangguh bayar ganti rugi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan penangguhan bayaran ganti rugi saman berjumlah RM80,000 yang perlu dibayar bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Profesor Datuk Mahamad Naser Disa.

Dia diperintahkan membayar ganti rugi itu kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berhubung saman fitnah membabitkan isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Rohani Ismail, membuat keputusan itu ketika prosiding dalam kamar pada bicara notis permohonan itu.

Beliau membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Mohd Naser selaku pemohon, untuk penangguhan bayaran ganti rugi itu pada 29 Julai lalu.

Prosiding itu dihadiri peguam Mohd Faizal Abdullah mewakili Khalid selaku plaintif dan peguam Effa Azwin Idrul Hisham yang mewakili Mahamad Naser sebagai defendan.

Pada 17 Julai lalu, mahkamah sama memerintahkan Mahamad Naser membayar ganti rugi RM80,000 kepada Khalid yang memenangi saman fitnah difailkan beliau.

Rohani dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati tiada keterangan menunjukkan Khalid mengeluarkan kenyataan yang menentang RUU 355.

Katanya, kenyataan defendan (Mahamad Naser), yang menggambarkan plaintif (Khalid) menentang RUU 355 adalah tidak benar dan menjatuhkan reputasi plaintif.

Berikutan itu mahkamah membenarkan tuntutan saman plaintif dan memerintahkan defendan membayar ganti rugi keseluruhan RM80,000 dan kos RM20,000 kepada plaintif.

Rohani turut memerintahkan Mahamad Naser mengemukakan permohonan maaf kepada Ahli Parlimen Shah Alam itu, yang perlu diterbitkan di akhbar tempatan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini serta injunksi menghalang defendan mengeluarkan kenyataan berhubung isu sama.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan daripada dua saksi iaitu plaintif dan defendan sendiri.

Pada 30 Mei 2018, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Mahamad Naser untuk membatalkan saman Khalid selepas mendapati ada isu perlu dibicarakan dalam kes saman itu.

Mahamad Naser memohon untuk membatalkan saman berkenaan pada 30 Januari 2018 atas alasan saman itu menyalah guna proses mahkamah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan kerana diguna bagi meraih ‘political mileage’ (keuntungan politik) berhubung isu RUU 355.

Pada Disember 2017, Khalid menyaman Mahamad Naser selepas mendakwa defendan menyentuh isu RUU 355 dalam satu seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kira-kira jam 9.50 pagi, 28 September 2017 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Khalid mendakwa Mahamad Naser, dalam ceramah bertajuk `Wacana isu semasa dan perundangan peringkat negeri Selangor: Doktrin, Cabaran dan Perlembagaan’, membuat pernyataan, antara lain menggambarkan plaintif menentang sekeras-kerasnya RUU 355, menentang pelaksanaan hukum syarak termasuk hudud dan menentang usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Plaintif mendakwa pernyataan itu dibuat dengan berniat jahat sehingga menyebabkan reputasinya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam tercemar.

Khalid menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan selain menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf.

Berita Harian X