Jumaat, 30 Ogos 2019 | 11:10am

SPRM diberi masa 7 hari pinda notis lucut hak UMNO Pekan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi masa tujuh hari bermula hari ini untuk meminda permohonan notis lucut hak yang dikemukakan terhadap UMNO Bahagian Pekan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan demikian selepas menolak permohonan peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili UMNO Pekan untuk membatalkan notis lucut hak dikemukakan SPRM melalui Pendakwa Raya terhadap pertubuhan itu.

Beliau kemudian mengarahkan SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai untuk meminda nama UMNO Pekan kepada nama pemegang jawatan dalam notis berkenaan.

“Mahkamah menolak permohonan pemohon (UMNO Pekan) untuk membatalkan permohonan melucut hak difailkan respoden (SPRM).

“Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan responden meminda penama dalam notis lucut hak mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Permohonan UMNO sebelum ini adalah untuk membatalkan permohonan lucut hak terhadap wang berjumlah RM700,000 milik UMNO Pekan yang dibekukan.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam permohonan itu, UMNO Pekan mendakwa SPRM menamakan pihak yang salah, sebaliknya ia sepatutnya menamakan pengarah atau individu UMNO Pekan.

Mahkamah menetapkan 6 September depan untuk pengurusan kes bagi mewartakan notis pihak ketiga.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang akhbarnya, berkata permohonan pelucutan hak difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berita Harian X