Jumaat, 30 Ogos 2019 | 2:45pm

Polis tidak tolak kemungkinan panggil lagi individu beri keterangan

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan ada lagi individu akan dipanggil untuk membantu siasatan kes gangguan rangkaian yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah, berkata di peringkat ini pihaknya masih lagi menjalankan proses siasatan.

“Kes ini kes besar, siasatan dijalankan dengan teliti dan setakat ini ia masih berjalan.

“Jika dalam siasatan kita mendapati ada keperluan untuk memanggil mana-mana individu, kita akan buat, kemungkinan itu ada,” katanya kepada BH, hari ini.

Akhbar tempatan semalam melaporkan empat jurutera perisian bahagian teknologi maklumat Malaysia Airports Berhad (MAHB) dipanggil untuk memberi keterangan.

Isnin lalu, MAHB dalam kenyataan medianya memaklumkan, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA pada 21 Ogos lalu disebabkan satu tindakan berniat jahat.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh MAHB dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Azmi Raja Nazuddin, dilaporkan berkata pihaknya akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan penuh.

21 Ogos lalu, kedua-dua terminal KLIA dilaporkan mengalami gangguan sistem sementara.

Gangguan itu menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Gangguan juga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang sebelum sistem itu kembali distabilkan empat hari kemudian.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X