Sabtu, 31 Ogos 2019 | 12:57pm
Anggota penyelamat berusaha mencari seorang kanak-kanak perempuan, Ismaniza Atira Ismail, 10, yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaikinya bersama enam ahli keluarga untuk pulang ke rumahnya terbalik kejadian dalam kejadian di Sungai Pasir Linggi, Kuala Krai. - Foto ihsan Pembaca

Bot terbalik, kanak-kanak dikhuatiri lemas

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama keluarganya terbalik di Sungai Pasir Linggi, dekat Kuala Krai, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, Ismaniza Atira Ismail, 10, bersama enam ahli keluarganya menaiki bot menyeberangi sungai untuk pulang ke rumah di Kampung Pasir Linggi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Che Razak Harun, berkata 16 anggota termasuk pegawai serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pihak polis pada jam 6.15 petang semalam.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati enam mangsa lain termasuk bapa saudara mangsa selamat berenang ke tebing sungai.

“Difahamkan, bot dinaiki mangsa bersama bapa saudara dan ahli keluarga lain terbalik secara tiba-tiba.

“Mereka berpaut pada buluh di bot dan bapa saudara mangsa membawa seorang demi seorang ke tebing.

“Mangsa dikatakan berenang dari belakang sebelum hilang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, operasi mencari mangsa bermula semalam dan diteruskan hari ini turut dibantu pihak polis dan orang ramai.

Berita Harian X