X
Isnin, 2 September 2019 | 2:56pm
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Gangguan KLIA: Polis panggil pembekal sistem

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil pembekal sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu siasatan kes gangguan rangkaian di situ dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah, berkata setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan 12 individu terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports Berhad (MAHB) yang mengendalikan sistem terbabit.

“Siasatan masih berjalan, polis sudah panggil mereka yang berkenaan untuk dirakam keterangan.

“Kes ini agak rumit kerana membabitkan perkara teknikal, kita perlu mendapatkan penilaian daripada pihak yang pakar dalam bidang berkaitan.

“Ketua Polis Selangor akan memaklumkan rumusan mengenai kes ini sebaik ia selesai,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pada 21 Ogos lalu, kedua-dua terminal KLIA dilaporkan mengalami gangguan sistem.

Gangguan menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).

Ia juga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang sebelum sistem itu kembali distabilkan pada 24 Ogos.

MAHB, dalam kenyataan medianya sebelum ini, memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA itu disebabkan tindakan berniat jahat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X