Rabu, 4 September 2019 | 2:14pm
Bathu Malai Chelliah (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini, atas kesalahan memberi komen menghina kaum di laman sosial Facebook bulan lalu. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria

Pemandu lori didakwa menghina kaum

PORT DICKSON: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas kesalahan memberi komen menghina kaum di laman sosial Facebook bulan lalu.

Bathu Malai Chelliah, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd Razak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan nama Darsheini Malai didakwa dengan sengaja menghina seorang lelaki Melayu berusia 37 tahun di Facebook sehingga menyebabkan provokasi.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai makan di pekan Jementah, Segamat, Johor, pada jam 5 petang, pada 29 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A Ashwini, manakala tertuduh diwakili peguam Eric Yeow Kok Heng.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Oktober depan.

Berita Harian X