Rabu, 4 September 2019 | 2:47pm
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz (kanan) membuka garisan kuning selepas pusat operasi kes kebocoran gas ammonia disebuah kilang ditutup di Serkam, Merlimau. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Gas bocor: Calon UPSR ditempatkan semula sekolah asal

JASIN: Kesemua 101 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari tiga sekolah yang menduduki peperiksaan di pusat sementara hari ini, berikutan insiden kebocoran gas dari kilang proses ayam, di Merlimau, di sini, akan ditempatkan semula ke sekolah asal, esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata tiga sekolah terbabit iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Redan, SK Serkam Darat, dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Serkam.

“Peperiksaan UPSR diadakan seperti biasa di sekolah mereka esok dan tiada sekolah ditutup.

“Sekolah beroperasi seperti biasa, guru juga datang ke sekolah manakala cuti diberikan kepada murid Darjah 1 hingga 5 saja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat kawalan operasi di lokasi kilang, di sini, hari ini.

Sementara itu, Raiz Mukhliz berkata dua pusat pemindahan sementara iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum di Jasin dan SMK Ayer Molek, Melaka Tengah yang dibuka pada jam 9.45 malam tadi, juga ditutup pada jam 7 pagi tadi.

Dilaporkan, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari malam tadi mengeluarkan kenyataan saat akhir bahawa dua pusat peperiksaan baharu dibuka masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mahkota yang menempatkan 75 calon dari SK Serkam Darat dan enam calon SJKT Ladang Serkam.

Katanya, 20 calon lagi dari SK Paya Redan ditumpangkan ke SK Paya Dalam.

Keputusan itu dibuat kerana ketiga-tiga sekolah itu terletak dalam radius kira- kira tiga kilometer dari kilang pemprosesan ayam terbabit.

Berita Harian X