Rabu, 4 September 2019 | 6:46pm
Gambar kenangan Mohd Aziz Mohd Yadi, 29, bersama anak Nur Afrina Miqaila selepas isterinya Farah Ain Salim, 29, maut dalam kemalangan di Kilometer 32 Jalan Langkap - Kampar berhampiran simpang Klinik Desa Tanjung Keramat. - Foto ihsan Pembaca

Bayi terbabit kemalangan terbenam dalam lumpur

TELUK INTAN: Bayi perempuan terbabit kemalangan yang mengorbankan tiga nyawa termasuk ibunya, terselamat berikutan tindakan pantas seorang jururawat Klinik Desa Tanjung Keramat, di sini memberikan bantuan awal.

Bayi perempuan itu, Nur Afrina Miqaila Mohd Azizi, yang cedera akibat tercampak keluar dari kereta dengan separuh badan terbenam dalam lumpur selepas kereta dinaiki terhumban dalam parit di Kilometer 32 Jalan Langkap-Kampar semalam, kini dilaporkan stabil.

Bapanya, Mohd Aziz Mohd Yadi, 29, berkata bayinya yang berusia sembilan bulan itu diselamatkan jururawat berkenaan yang memberikan bantuan awal hingga anaknya sedar semula.

“Semalam, keadaannya masih trauma kerana sering terkejut ketika tidur, tapi hari ini nampak sudah ada perubahan positif.

“Alhamdulillah, keadaannya stabil dan makin pulih tanpa sebarang kecederaan serius,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Keramat di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, isterinya, Farah Ain Salim, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta dinaiki terbabit dalam nahas empat kenderaan.

Kemalangan yang berlaku berhampiran Klinik Desa Tanjung Keramat itu turut mengorbankan pemandu kereta, Fuziyah Sarjuni, 62, juga ibu saudaranya dan seorang lagi penumpang, Faridah Md Nayen, 38, yang sedang sarat mengandung 35 minggu.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Aziz berkata arwah sepatutnya membawa bayi mereka untuk pemeriksaan di klinik hari ini, namun secara kebetulan jirannya iaitu Allahyarham Faridah mahu membuat pemeriksaan sama di klinik itu, semalam.

“Dia cakap alang-alang jiran nak ‘check up’, baik dia ikut sekali, tak perlu berulang banyak kali, jadi saya benarkan dia pergi bersama ibu saudara.

“Tak sampai lima minit, ada ambulans lalu lalang depan rumah, saya yang kebetulan nak ke Langkap sempat ikut ambulans itu dari belakang tanpa mengetahui ia membawa mangsa kemalangan yang membabitkan isteri saya,” katanya.

Katanya, dia dan isteri, yang mendirikan rumah tangga pada 2015, sudah lebih setahun tinggal bersama Allahyarham Fuziyah di rumah itu memandangkan ibu saudaranya duduk seorang diri.

“Hubungan arwah isteri dan ibu saudara memang rapat, macam anak dan mak, apa pun saya reda dengan kejadian ini dan tetap bersyukur kerana anak kami masih selamat, dialah satu-satunya anak kami,” katanya.

Berita Harian X