Rabu, 4 September 2019 | 9:12pm

Tak sempat ambil UPSR

KULIM: Seorang murid yang sepatutnya menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini, ditemui mati dalam keadaan tergantung pada katil dua tingkat rumahnya di Taman Nenas, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari, berkata kejadian antara jam 6.30 petang dan 7 malam itu disedari adik perempuan mangsa berusia lapan tahun.

“Sebelum kejadian, ibu mangsa berada di ruang tamu rumah manakala mangsa berusia 12 tahun sedang bermain dengan abangnya berusia 14 tahun dan adik perempuannya di salah sebuah bilik di rumah mereka.

“Kira-kira 15 minit kemudian, adik mangsa memberitahu ibu mereka bahawa mangsa sudah tergantung berhampiran dengan katil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Yusuf berkata, apabila wanita itu masuk ke dalam bilik terbabit, mangsa sudah pun berada terlentang di atas tilam kerana abang mangsa sudah memotong tali yang menjerut mangsa.

“Pegawai perubatan Hospital Kulim dipanggil dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati terdapat tali kasut berwarna putih berada di lantai katil tingkat atas dan mangsa berada di katil bawah.

Katanya, mangsa disyaki menggantungkan diri pada bahagian besi katil tingkat atas dengan menggunakan tali kasut berkenaan.

“Polis mendapati tiada unsur jenayah yang dapat dikesan pada badan mangsa dan di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Berita Harian X