Jumaat, 6 September 2019 | 3:11pm

Nazrin mati dibunuh - Pendakwaan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu pihak pendakwaan akan membuktikan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan mati dibunuh dan bukan akibat kebakaran pada tengah hari 14 Jun 2018.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, Nazrin, 47, dibunuh terlebih dahulu sebelum bilik utama di kediamannya di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya dibakar untuk menutup punca kematiannya.

Beliau berkata, pendakwaan akan membuktikan, dengan menggunakan keterangan langsung, keterangan mengikut keadaan dan dokumen, bahawa Nazrin dibunuh antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018 di dalam bilik tidur utama di kediamannya.

Selain itu, pendakwaan juga akan bergantung kepada Seksyen 34 Kanun Keseksaan bagi menunjukkan niat bersama ketiga-tiga tertuduh.

Ketika membacakan ucapan pembukaan bagi kes pembunuhan Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman pagi ini, Raja Rozela berkata, sebelum kematiannya, Nazrin tinggal di rumah tempat kejadian bersama-sama tertuduh pertama, Samirah Muzaffar, 44, dan dua tertuduh remaja serta dua anak kecil selain seorang wanita warga Indonesia bernama Eka Wahyu Lestari.


Allahyarham Nazrin Hassan.

Katanya, hasil bedah siasat kedua yang dijalankan selepas permohonan abang mangsa, kira-kira tiga bulan selepas kematian Nazrin, mendapati mangsa mati akibat hentakan benda tumpul di kepalanya.

“Bedah siasat kedua dijalankan pada 8 Oktober 2018 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan hasil bedah siasat kedua ini menunjukkan bahawa kematian si mati adalah akibat ‘multiple blunt impact to the head’.

“Pihak pendakwaan juga akan membuktikan melalui keterangan pakar perubatan forensik bahawa kematian si mati adalah disebabkan oleh hentakan benda tumpul di kepala dan hentakan ini adalah secara lazimnya boleh menyebabkan kematian.

“Keterangan akan menunjukkan bahawa si mati tidak mati dalam kebakaran tersebut.

“Si mati telah mati sebelum kebakaran berlaku dan kebakaran itu telah sengaja dibuat bagi menyembunyikan punca sebenar kematian si mati,” katanya.

Raja Rozela berkata demikian pada hari pertama perbicaraan kes bunuh terhadap bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah, 44, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Raja Rozela berkata, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 14 Jun 2018, bomba dimaklumkan mengenai satu kebakaran di rumah berkenaan dan apabila tiba di tempat kejadian, didapati bilik tidur utama di tingkat dua rumah itu yang terbakar.

Selepas kebakaran dipadamkan, bomba menemui mayat Nazrin dalam keadaan terbaring di atas lantai bilik berkenaan.

Katanya, mayat Nazrin dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian mangsa akibat komplikasi dari letupan dan kecederaan tusukan tumpul (complication of blast and blunt penetrating injuries).

Terdahulu, sebelum kes dimulakan, pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh dibacakan semula sebelum mereka membuat pengakuan tidak bersalah sekali lagi.

Samirah yang tiba di mahkamah dengan dua remaja itu kira-kira jam 8.40 pagi mengenakan baju kurung berwarna coklat dan bertudung hitam.

Pendakwaan turut dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, Ashyraf Ashyari, Noor Mawarni Halim dan Wan Shahida Wan Omar manakala pembelaan diwakili Tan Sri Shafee Abdullah, L S Leonard, S Suresh, Rahmat Hazlan, Savreena Kaur, Mardhiyah Siraj dan Zahriah Eleena Redza.

Samirah meninggalkan pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas menghadiri perbicaraan kes Allahyarham Nazrin Hassan. - NSTP/Saddam Yusoff
Berita Harian X