Jumaat, 6 September 2019 | 3:27pm

Ada kesan darah masih basah di badan Nazrin - Saksi

SHAH ALAM: Mayat Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, berada di bahagian penjuru katil ketika bilik berkenaan terbakar.

Saksi kedua pendakwaan, Koperal Nazrin Zakaria, 39, juga berkata ketika sampai di tempat kejadian kira-kira jam 3 petang pada 14 Jun 2018, beliau mendapati dinding bilik terbabit berwarna hitam akibat kesan kebakaran.

Saksi berkata, alat pendingin hawa bilik terbabit serta tilam yang ada di dalam bilik itu turut terbakar.

“Bilik itu terbakar sepenuhnya. Mayat ada terbaring di lantai di penjuru katil,” katanya ketika memberi keterangan hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, di sini, hari ini.

Ketika ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Nazrin yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, berkata beliau melihat darah di sekitar dan bawah badan mayat.

Katanya, darah berkenaan masih basah namun tidak pasti sama ada ia masih mengalir atau pun tidak.

Nazrin berkata, beliau juga terlihat sesuatu barang yang sudah terbakar diatas badan mangsa.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan apakah barang terbabit.

“Saya juga tidak nampak telefon bimbit ( Blackberry dan Huawei). Tidak ada yang menunjukkan.

“Sama ada atas katil atau dalam bilik, saya tidak perasan,” katanya.

Saksi sama turut memberitahu mahkamah, beliau tidak nampak kesan darah di sekitar dinding berikutan kesan kebakaran yang menyebabkan warna dinding berubah warna hitam.

Sementara itu, berlaku kekecohan di luar Mahkamah Tinggi selepas kes ditangguhkan sehingga petang, apabila seorang daripada tertuduh remaja dan keluarganya tidak berpuas hati kerana gambar ketiga-tiga tertuduh dirakamkan jurugambar dan jurukamera media yang membuat liputan kes itu.

Remaja itu kedengaran menjerit ‘stop!’ berkali-kali sambil cuba menepis ke arah jurugambar untuk menghalang gambarnya, seorang lagi remaja serta Samirah daripada dirakamkan.

Seorang daripada peguam terbabit juga didengari menjerit perkataan ‘dog’ ke arah petugas media sebelum tertuduh dibawa turun untuk makan tengah hari dan memberi peluang kedua-dua remaja itu menunaikan solat Jumaat.

Keadaan itu menyebabkan ada sesetengah petugas media berbalas jeritan dengan mereka.

ALLAHYARHAM nazrin hassan.
Berita Harian X