Jumaat, 6 September 2019 | 4:28pm
JAJARAN Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping Seksyen 9 dan 10 daripada Lekir ke Beruas sepanjang 45 kilometer (km) dijangka akan dibuka kepada pengguna jalan raya dalam masa terdekat bulan ini. NSTP/Abdullah Yusof

Kenderaan masuk jajaran tidak dibuka WCE

SITIAWAN: Kemalangan yang menyebabkan dua lelaki rentung malam tadi berlaku di kawasan pembinaan jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping bagi Seksyen 10 Beruas yang belum dibuka secara rasmi kepada pengguna.

Dalam kejadian pada jam 11 malam itu, R Arigaran, 28, dan S Mahendran, 26, yang menaiki kereta jenis Audi A6 maut di tempat kejadian.

Seorang lagi lelaki berusia 30 tahun dilaporkan parah di kepala dan kini sedang di rawat di sebuah hospital swasta di Seri Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata siasatan awal mendapati kejadian membabitkan kereta dinaiki tiga lelaki berkenaan dengan tiga jentera pembinaan jalan yang diletak di bahu jalan.

Katanya, kereta berkenaan dari arah tol Batu 19 Ayer Tawar menghala ke arah Beruas dan apabila tiba di Seksyen 10 dipercayai hilang kawalan.

“Kereta mangsa dipercayai terlanggar tiga jentera pembinaan jalan yang diparkir di bahu jalan dan kemalangan itu mengakibatkan kenderaan berkenaan terbakar.

“Dua mangsa iaitu pemandu berusia 28 dan penumpang hadapan tersepit dalam kereta dan rentung manakala seorang lagi mangsa yang parah di kepala dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat petang semalam.

“Kenderaan berkenaan menceroboh laluan kawasan pembinaan lebuh raya WCE, namun tidak berlumba tetapi kereta berada dalam kelajuan tinggi.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan WCE Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong ketika dihubungi berkata, lebuh raya berkenaan masih belum dibuka kepada pengguna jalan raya dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak melaluinya.

Katanya, sekiranya berlaku sesuatu kejadian tidak diingini ia akan memberi masalah kepada keluarga atau mangsa untuk menuntut insurans dan sebagainya kerana jajaran itu belum diwartakan.

Berita Harian X