Sabtu, 7 September 2019 | 11:54am

Perintah berkurung ESSZONE dilanjutkan

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir petang ini akan dilanjutkan sehingga 23 September depan.

Perintah Berkurung ini dilanjutkan selama 14 hari mengikut Seksyen 31(4) Akta Polis 1967.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di rumah dan tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan itu sepanjang tempoh berkenaan.

“Keperluan meneruskan perintah berkurung bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta pelancong asing yang melawat pulau peranginan di sekitar Sabah.

“Maklumat risikan polis juga mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh masuk ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Omar berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Katanya, langkah itu juga akan memudahkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain memberikan perasaan selamat dan keyakinan kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X