Isnin, 9 September 2019 | 1:19pm
Allahyarham Mohammad Husaini Mazlan.

Lemas jatuh laut ketika memancing

BALIK PULAU: Seorang lelaki lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika memancing di persisiran pantai Pasir Panjang, Pulau Betong di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi, Mohammad Husaini Mazlan, 23, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh bapa mangsa yang membuat laporan pada jam 8.17 malam.

“Bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans di Hospital Balik Pulau (HBP) menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak mereka tergelincir lalu terjatuh ke dalam laut ketika memancing.

“Beliau bersama beberapa kakitangan hospital berkenaan bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Anbalagan berkata, kakitangan perubatan memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat dibawa ke HBP oleh polis dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana lemas,” katanya.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati ada batu besar di kawasan persisiran pantai yang menjadi tumpuan ramai manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X