Selasa, 10 September 2019 | 10:09am
Rokok seludup yang dipercayai diseludup dari negara jiran, berhampiran bulatan Kalabakan, dirampas PGA Batalion 14. - Ihsan PDRM

PGA Tawau rampas rokok seludup bernilai RM64,000

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, di sini merampas 820 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM64,000 dipercayai diseludup dari negara jiran di persimpangan jalan berdekatan bulatan Kalabakan, awal pagi tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata rampasan dilakukan selepas pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada jam 3 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan awal yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota PGA dari ‘Kompany A’ mendapati kereta terbabit diletakkan di bahu jalan dengan keadaan pintu bahagian pemandu terbuka.

Bagaimanapun katanya, selepas diperiksa tiada sesiapa berada dalam kereta berkenaan dan usaha mengesan pemandu tidak berjaya selepas dipercayai melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui longgokan kotak yang dibalut plastik hitam memenuhi ruang penumpang hadapan dan belakang sehingga ke ruang bonet kereta disyaki kotak rokok seludup.

“Sebaik dibuka, di dalam kotak berkenaan masing-masing mengandungi rokok jenama Premiro (300 karton); Djarum Black (200 karton); Surya Menthol (80 karton) dan Fit Wild (240 karton),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hazani berkata, semua barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X