Selasa, 10 September 2019 | 12:10pm
SAKSI bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Afendi Nazaruddin hadir bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Bukan Jho Low yang cadang bekerja dengan Najib - Amhari

KUALA LUMPUR: Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak menafikan yang beliau mendapat jawatan terbabit selepas ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low mencadangkan namanya ke Pejabat Perdana Menteri.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin berkata sebelum mendapat jawatan itu, beliau sendiri menghubungi Pegawai Khas Najib, Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail, untuk bertanya mengenai kekosongan jawatan pada tahun 2006.

Amhari Efendi yang menjawab soalan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas, tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu yang Jho Low mencadangkan namanya ke Pejabat Perdana Menteri bagi jawatan itu.

“Bagaimanapun, sebelum diserap masuk, pada beberapa bulan sebelumnya saya ada menghubungi Datuk Wan Shihab.

“Saya hubungi beliau untuk bertanya sama ada perdana menteri (Najib) memerlukan pegawai khas, tetapi saya diberitahu tiada pengambilan dan sekiranya ada, beliau akan hubungi saya semula,” katanya.

Beliau berkata, beberapa bulan kemudian, Wan Shihab menghubunginya dan memberitahu bahawa pejabat perdana menteri memerlukan pegawai khas.

Berita Harian X