Rabu, 11 September 2019 | 11:57am
BARANGAN yang dicuri oleh wanita dipercayai asnaf di sebuah pasar raya di Seri Iskandar. - Foto ihsan pembaca
BARANGAN yang dicuri oleh wanita dipercayai asnaf di sebuah pasar raya di Seri Iskandar. - Foto ihsan pembaca

Wanita dicekup curi di pasar raya

SERI ISKANDAR: Seorang wanita ditahan kerana mencuri pelbagai barangan termasuk ayam di sebuah pasar raya di sini semalam.

Wanita berusia 31 tahun yang dikatakan sedang dalam proses perceraian dan mempunyai tiga anak kecil itu, diberkas pengawal keselamatan pasar raya terbabit bersama barangan yang dicuri dianggarkan bernilai RM80.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, berkata tangkapan awal dilakukan pihak pengawal keselamatan pasar raya sebelum wanita terbabit diserahkan kepada polis.

“Barang curi yang ditemui dan dirampas semula adalah satu bungkusan pek isian semula krim mandian, satu bekas serbuk lada hitam, krim muka, dua bungkus ayam BBQ dan satu paket kiub tulang ayam.

“Suspek berasal dari Kelantan dan pemeriksaan mendapati wanita terbabit tiada rekod jenayah lampau serta dalam proses perceraian bersama suami yang berusia 35 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan sudah dijalankan dan suspek akan tuduh di Mahkamah Majistret Parit hari ini mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Difahamkan sudah banyak kali kejadian seumpama ini (kecurian) berlaku di pasar raya berkenaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X