Rabu, 11 September 2019 | 1:26pm

Ibu tiga anak curi di pasar raya dibebas polis

SERI ISKANDAR: Seorang ibu tiga anak yang ditahan di sebuah pasar raya di sini kerana mencuri barang dianggarkan bernilai RM80 termasuk ayam, akan dibebaskan tanpa syarat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, ketika dihubungi sebentar tadi, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan tiada pertuduhan dibuat terhadap wanita terbabit.

Beliau berkata, polis sudah menghantar kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, tetapi wanita berusia 31 tahun berkenaan tidak didakwa di mahkamah.

“Disahkan dia tidak dituduh selepas kertas siasatan lengkap kita majukan pagi ini kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Wanita berkenaan akan dibebaskan tanpa syarat hari ini dan kita hanya ambil keterangan. Kes ini dianggap sudah selesai,” katanya.

Terdahulu, BH Online melaporkan wanita itu yang dikatakan dalam proses perceraian, ditahan oleh pengawal keselamatan pasar raya terbabit sebelum diserahkan kepada polis.

Barang curi yang ditemui dan dirampas semula adalah pek isian semula krim mandian, serbuk lada hitam, krim muka, ayam BBQ dan satu paket kiub tulang ayam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X