Rabu, 11 September 2019 | 2:57pm
MUHAMMAD Aiman Zulhasnan Aminuddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang (ancaman) seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Ogos lalu. - Foto Norizuan Shamsuddin

Jurukimpal tidak mengaku lakukan amang seksual

KUALA TERENGGANU: Jurukimpal dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang (ancaman) seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Aiman Zulhasnan Aminuddin, 19, dari Kampung Tanjung Batu, di sini, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Nooriah Osman.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berkenaan di Kampung Batin Perdana, di sini, kira-kira jam 5 petang, pertengahan Ogos lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan mahkamah menetapkan 1 Oktober ini depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan supaya tidak mengganggu mangsa.

Berita Harian X