Rabu, 11 September 2019 | 2:58pm
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh. - Foto Saddam Yusoff

Lelaki kalah judi dakwa disamun

KAPAR: Seorang lelaki kalah judi membuat laporan palsu mendakwa wang syarikat keluarganya berjumlah RM16,000 dilarikan penjenayah, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata lelaki berusia 31 tahun itu bertindak demikian selepas berasa tertekan serta takut akibat mengalami kekalahan ketika berjudi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat, lelaki terbabit mendakwa dia mengeluarkan wang di Meru, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Suspek mendakwa dia disamun dua lelaki menaiki motosikal Honda EX5 berhampiran Jalan Paip, Meru dan terpaksa menyerahkan wang yang baru dikeluarkan daripada bank berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan polis mendapati tiada kejadian samun berlaku di sekitar kawasan terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini, hari ini.

Nurulhuda berkata, siasatan yang dilakukan terhadap suspek menyebabkan dia mengaku membuat laporan polis palsu.

Katanya, suspek mengakui tertekan selepas wang yang sepatutnya digunakan membayar gaji pekerja habis kerana berjudi.

“Siasatan lanjut mendapati suspek pernah membuat laporan palsu pada 2013 dan 2015 dengan modus operandi yang sama.

“Pada 2013, suspek ini membuat laporan polis di IPD Dang Wangi dengan kerugian RM1,600 dan pada 2015, dia juga membuat laporan polis mengenai kejadian sama dengan kerugian RM8,000.

“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X