Rabu, 11 September 2019 | 5:39pm

Janda kelar tangan bekas kekasih

KOTA KINABALU: Seorang janda yang berang akibat ditinggalkan bekas kekasihnya mengelar tangan lelaki berkenaan dengan pisau di sebuah kondominium di Sembulan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, wanita berusia 30-an itu dikatakan datang ke rumah mangsa untuk berbincang namun berlaku pertengkaran antara mereka.

Bagaimanapun, wanita itu tiba-tiba mengeluarkan pisau sebelum bertindak mengelar tangan mangsa sehingga berlumuran darah.

Difahamkan, wanita itu mengenali mangsa di sebuah kelab malam sebelum menjalinkan hubungan cinta selepas itu.

Hubungan pasangan itu bagaimanapun terputus sejak Ogos lalu dan masalah itu dipercayai menjadi punca rasa tidak puas hati wanita itu terhadap mangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Rakhman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa terpaksa menerima lapan jahitan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Berita Harian X