Khamis, 12 September 2019 | 2:12pm

Pemandu lori terbabit kemalangan maut ditahan

IPOH: Polis menahan seorang pemandu lori terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Chemor-Jelapang berhampiran Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru Raya, di sini, semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 3.20 petang, pesara polis yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova, P Ramakrishnan, 61, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, anak perempuan Ramakrishnan berusia 16 tahun yang turut berada di dalam MPV itu dan pemandu lori terbabit dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah, berkata pemandu lori berusia 28 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori itu dalam perjalanan dari Jelapang menghala ke Chemor sebelum dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu merempuh MPV terbabit.

“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nordin berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada orang awam, sebelum bergegas ke tempat kemalangan.

Beliau berkata, anggota kemudian mendapati pemandu kereta itu tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat kira-kira jam 5.00 petang.

Berita Harian X