Khamis, 12 September 2019 | 5:10pm
DR SITI Nasuha, dari Klinik Pergigian Pasir Pekan, memberi penerangan tentang penjagaan gigi kepada murid-murid SK Sri Tumpat 2, dan di perhatikan Wan Roslan (berkopiah) dan Pengarah JKM, Said Sidup, selepas majlis perasmian Program Sahabat BIJAK 'Safe and Protect' Jauhi Dadah. - NSTP/Fathil Asri

Kelantan jadi laluan, pintu masuk bekalan dadah

TUMPAT: Kelantan menjadi laluan dan pintu masuk penyeludupan dadah dari negara jiran menyebabkan negeri ini menyumbang rampasan terbesar bahan terlarang terbabit.

Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat, berkata kedudukan Kelantan berdekatan sempadan negara dijadikan sebagai lokasi ‘transit’ untuk bekalan dadah terutama pil kuda sebelum dihantar ke negeri lain.

Justeru, beliau menganggap Kelantan seolah-olah ‘diserang’ dadah memandangkan negeri ini bukan ‘kilang’ menghasilkan bahan terlarang terbabit, menyebabkan PEMADAM mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan ‘serangan’ itu.

“Bagi membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat, kita membuat program dengan menyasarkan murid sekolah rendah supaya masalah gejala sosial dapat ditangani di peringkat awal.

“Kita mahu ambil tanggungjawab memberi didikan di awal usia sebagai satu bentuk pertahanan sebelum mereka terjebak dengan gejala sosial terutama penyalahgunaan dadah.

“Bagaimanapun, tindakan kita mendidik murid sekolah bukan bermakna mereka didapati sudah terbabit dengan dadah, namun kita mahu mereka tidak mudah terpengaruh dengan diberi pengetahuan serta kesedaran di peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak, Sahabat BIJAK ‘Safe and Protect’ Jauhi Dadah peringkat Tumpat, di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tumpat 2, di sini, hari ini, yang turut dihadiri, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup.

Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, berkata kempen berkenaan diurus oleh JKM, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diadakan setiap tahun membabitkan sekolah rendah di seluruh negeri.

Katanya, pada program itu, murid akan diberi pendedahan mengenai dadah dalam bentuk ceramah, kuiz serta pameran.

“Tangkapan dadah yang dibuat oleh pihak berkuasa kebelakangan ini di Kelantan sangat baik. Jadi kita harap penguatkuasaan oleh pihak berkuasa terus diperketatkan untuk membendung masalah dadah,” katanya.

Berita Harian X