Khamis, 12 September 2019 | 8:45pm
KEADAAN bumbung rapuh di kondominium di Jalan Signal Hill, Kota Kinabalu. - Foto ihsan polis

Maut terjatuh selepas terpijak bumbung rapuh

KOTA KINABALU: Seorang kontraktor maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah kondominium di Jalan Signal Hill, di sini sejurus terpijak bumbung rapuh di premis berkenaan pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa yang berusia 28 tahun dan berasal dari Batu Caves, Selangor sedang melakukan kerja-kerja pembaikan bumbung berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik berikutan kecederaan teruk pada bahagian kepala.

“Kita menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mendakwa seorang lelaki terjatuh dari tingkat atas bangunan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pembaikan bumbung yang bocor di tingkat atas kondominium itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa memanjat bumbung berkenaan dan dipercayai terpijak bahagian bumbung yang reput sebelum terjatuh.

“Penduduk bangunan berkenaan yang menyedari kejadian itu segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE I) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Berita Harian X