Jumaat, 13 September 2019 | 6:10pm
RAJU Kumar Pandit ketika ditemui di Mahkamah Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

Samirah menjerit sebelum bilik terbakar dibuka - Saksi

SHAH ALAM: Tertuduh pertama kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar, menjerit ketika pengawal keselamatan berjaya membuka tombol pintu bilik yang terbakar.

Pengawal terbabit, Raju Kumar Pandit, yang juga saksi keempat pendakwaan, berkata bagaimanapun beliau tidak tahu punca Samirah menjerit.

Katanya, ketika itu beliau cuba membuka bilik yang terletak di tingkat atas menggunakan besi dibawa jiran Samirah selepas gagal membuka pintu itu dengan cara menendang.

“Apabila saya berjaya membuka tombol kunci, saya dengar wanita itu menjerit, tetapi tidak pasti kenapa, sama ada terkena besi yang saya guna atau sebab lain.

“Ketika itu, pintu bilik itu belum dibuka, hanya tombol yang pecah,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, di sini, hari ini.

Saksi berkenaan berkata, selepas tombol pintu pecah, pintu bilik berkenaan masih tidak dapat dibuka dan beliau bertindak menendang pintu itu.

Raju Kumar berkata, apabila pintu terbuka, beliau melihat bilik berkenaan dipenuhi api dan asap hingga menyukarkan saksi terbabit masuk.

Terdahulu, Raju Kumar memberitahu mahkamah, apabila tiba di lokasi kejadian, beliau segera naik ke tingkat atas dan menuju ke arah bilik yang berasap.

Katanya, beliau mengetahui mengenai kebakaran itu ketika sedang membuat rondaan jam 12.24 tengah hari pada 14 Jun tahun lalu, selepas dihubungi jiran Samirah.

Saksi berkata, ketika sampai, Samirah berada di tempat letak kereta dalam keadaan menangis dan ketakutan.

“Saya tanya perempuan itu (Samirah) sama ada sudah menghubungi bomba atau belum dan dia jawab belum.

“Saya kemudian menelefon pihak bomba sebelum masuk ke dalam rumah, tetapi asap tebal,” katanya.

Raju Kumar yang bekerja sebagai ketua pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu berkata, beliau tetap masuk ke dalam rumah walaupun pandangan tidak jelas dan mata kabur akibat asap.

“Saya ambil sapu tangan dan pergi ke bilik terbakar. Sebelum saya buka pintu bilik, dia (Samirah) beritahu suaminya (Nazrin) ada dalam bilik itu. Anak lelakinya juga beritahu bapa ada dalam bilik itu dan esok hari raya,” katanya.

Selepas pasukan bomba sampai, Raju Kumar berkata, beliau diarahkan turun ke tingkat bawah.

Berita Harian X