Jumaat, 13 September 2019 | 8:05pm
RAJU Kumar Pandit ketika ditemui di Mahkamah Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

Saksi masuk rumah Nazrin tanpa diarah

SHAH ALAM: Saksi pendakwaan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, memberitahu mahkamah, beliau memasuki rumah mangsa tanpa diarah tertuduh pertama, Samirah Muzaffar.

Raju Kumar Pandit, 31, berkata Samirah yang ketika itu berada di luar rumah, tidak memberi sebarang arahan kepadanya untuk berbuat demikian.

Katanya, beliau masuk seorang diri ke dalam rumah berkenaan pada hari kejadian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Shafee Abdullah yang mewakili Samirah.

Raju Kumar berkata, selepas menendang pintu bilik yang terbakar, dan tidak berjaya membukanya, beliau meminta tukul daripada Samirah, namun tertuduh memberitahu tidak memilikinya.

“Saya nampak pemilik rumah nombor 16 bawa besi pahat,” katanya dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman hari ini.

Beliau juga tidak pasti jika seorang lagi lagi pengawal keselamatan yang ada di situ, Ashish Tamang, membuat permintaan berkenaan.

“Saya tidak nampak apa yang kawan saya buat,” katanya.

Raju Kumar yang bekerja di situ sejak November 2015, berkata ketika sampai di rumah mangsa, beliau tidak mendengar sebarang jeritan.

Beliau hanya dengar Samirah menjerit memberitahu suaminya ada di dalam bilik yang terbakar dan memanggil nama Nazrin ketika di dalam rumah.

Saksi berkenaan juga memberitahu mahkamah, beliau tidak perasan sama ada Samirah ada di bahagian atas rumah atau tidak ketika beliau dan Ashish cuba membuka pintu bilik itu kerana keadaan gelap dan berasap.

“Lepas pintu bilik dapat dibuka, saya nampak api di sebelah kanan pintu dan asap tebal. Saya tidak nampak apa-apa. Cuma nampak api dan asap.

“Saya pegang Samirah dari masuk ke dalam bilik (terbakar) sebab nak jaga keselamatan dia. Samirah jerit ‘suami saya, suami saya’,” katanya.

Perbicaraan bersambung pada 20 September ini.

Berita Harian X