Sabtu, 14 September 2019 | 11:56am
Wartawan media perak (baju hitam pakai cermin mata) sedang berbincang dengan wakil (lelaki baju belang) syarikat peminjam wang berlesen berikutan kebimbangan keretanya dilelong kerana syarikat itu enggan terima bayaran tunggakan kelmarin di ibu pejabat syarikat itu. (Baju hijau) wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Wartawan bimbang kereta dilelong

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan wanita bimbang keretanya dilelong berikutan tindakan syarikat peminjam wang berlesen yang memberi kemudahan pinjaman kenderaan, enggan menerima tunggakan bayarannya.

Usaha wartawan dari Perak itu untuk membayar tunggakan sehari selepas keretanya ditarik Khamis lalu, tidak berhasil apabila caj melepaskan sitaan tiga kali ganda daripada kos yang dikenakan dalam notis ketika kereta ditarik.

Mangsa berusia 32 tahun mendakwa, mengikut notis, dia memiliki dua bulan tunggakan berjumlah RM1,052 dan bayaran tambahan RM578 tetapi bayaran keseluruhan melepaskan sitaan pula adalah RM3,500.

“Masalahnya, kereta itu ditarik dan disimpan di Perak, tetapi saya perlu selesaikan tunggakan bayaran di syarikat berkenaan yang beroperasi di Kuala Lumpur.

“Sebelum ini saya cuba menghubungi pihak syarikat bertanya tentang prosedur untuk bayaran tunggakan, namun mereka meminta saya menunggu surat jadual kelima dan kemungkinan perlu membayar baki pinjaman kereta sebanyak RM27,000,” katanya kepada BH selepas membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini.

PPIM diketuai Ketua Biro Pembangunan Sosial PPIM, Dr Mazlina Abu Bakar menemani pengadu ke syarikat itu bagi menyelesaikan masalahnya.

Setibanya di syarikat itu, baharu pengadu dimaklumkan perlu menyediakan penyata gaji, bil utiliti, pendaftaran syarikat selain perlu menjelaskan semua saman trafik sebelum bayaran dibuat.

Dalam pada itu, Mazlina berkata, syarikat itu bertindak seperti ‘along’ dan caj yang dikenakan untuk upah tarik dan simpan kereta sangat tidak munasabah iaitu lebih RM2,000, walau hanya selepas sehari ditarik.

“PPIM menerima lebih 20 aduan sejak awal tahun ini menggunakan taktik sama membabitkan syarikat yang sama.

“Modus operandi syarikat berkenaan adalah menolak bayaran daripada pengadu dengan pelbagai alasan sehingga satu tempoh tertentu mereka akan minta keseluruhan baki pinjaman bayaran yang dianggarkan puluhan ribu.

“Kegagalan pengadu untuk menjelaskan bayaran akan menyebabkan kenderaan itu dilelong.

“Kebanyakan kes pengadu terpaksa membiarkan kenderaan mereka dilelong,” katanya.

Ditanya mengapa bayaran untuk melepaskan sitaan itu terlalu mahal berbanding notis tunggakan ketika disita, wakil syarikat itu berkata, ia upah dikenakan penarik kenderaan.

“Kenderaan itu akan dilepaskan pada minggu depan jika semua tuntutan lain dipenuhi serta bayaran dijelaskan. Ia adalah prosedur syarikat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi BH berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu terlebih dahulu.

Berita Harian X