Sabtu, 14 September 2019 | 4:09pm
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di tepi jalan Kampung Padang Pusing, Pendang. - NSTP/Ihsan PDRM

Dua pengedar dadah dicekup

PENDANG: Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan polis di sebuah rumah selepas menerima bekalan dadah untuk dibungkus di Kampung Padang Pusing, di sini, pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 38 dan 23 tahun sebelum itu diekori polis ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas memperoleh bekalan dadah untuk dibungkus sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata serbuan dilakukan ketika anggotanya menjalankan tugas ronda cegah jenayah.

“Ketika rondaan, pihak polis ternampak sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kemudiannya mengekori kenderaan terbabit sehingga ia berhenti di tepi rumah berkenaan.

Kita dapati seorang suspek sedang duduk di tempat pemandu manakala seorang lagi berada di bahagian tempat penumpang depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Arriz Sham berkata, hasil pemeriksaan menemui beg galas hitam yang mengandungi sembilan paket plastik lutsinar yang berisi serbuk ketulan putih disyaki dadah heroin seberat 440.6 gram.

“Selain itu, enam peket plastik lutsinar yang berisi serbuk hablur jernih disyaki dadah syabu dianggarkan berat 26.4 gram, alat pemetik api, gunting besi, satu alat penimbang digital, satu paket plastik lutsinar yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah turut ditemui.

“Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan kes jenayah dan masing-masing didapati positif dadah jenis morfin.

“Nilai rampasan keseluruhan bernilai RM21,584 dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berita Harian X