Ahad, 15 September 2019 | 1:10pm
Keadaan kereta dipandu Siti Nur Aisyah Norhisham merempuh belakang lori di Kampung Gong Mengkelih, Pasir Puteh. - NSTP/Ihsan JBPM

Remaja perempuan maut, tiga parah

KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan maut, manakala tiga rakannya parah selepas kereta yang mereka naiki merempuh belakang lori dalam kejadian di Kampung Gong Mengkelih, Pasir Puteh, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, mangsa yang meninggal adalah Nursyifa Imani Basharudin berusia 19 tahun yang berasal dari Taman Jana Jaya Li, Kamunting, Perak.

Tiga mangsa yang parah dan tersepit adalah Siti Nur Aisyah Norhisham; Muhammad Hafeez Firdaus Che Roni dan Mohamad Zahirudin Zahari, yang kesemuanya berusia 19 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar, berkata ketika kejadian, mangsa menaiki kereta Proton Gen 2 yang dipandu Siti Nur Aisyah dari Pasir Puteh menghala Machang.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori jenis Scania dari arah sama.

“Akibat rempuhan itu, Nursyifa Imani meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala tiga rakannya turut tersepit.

“Bomba mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan kepada ambulans untuk dihantar ke Hospital Taman Tengku Anis (HTTA),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X