Selasa, 17 September 2019 | 8:52pm

Mahkamah Rayuan kekal penjara 25 tahun terhadap dua lelaki lakukan pengeboman

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 25 tahun penjara terhadap dua lelaki kerana melakukan perbuatan pengganas dengan meletupkan sebutir bom tangan di kelab malam Movida di Puchong pada 2016, yang mencederakan lapan orang.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mengetuai panel tiga anggota dengan sebulat suara menolak rayuan oleh Imam Wahyudin Karjono dan Jonius Ondie @ Jahali terhadap hukuman selepas memutuskan bahawa rayuan mereka tidak mempunyai merit.

“Kami mendapati bahawa hakim tidak terkhilaf apabila mengenakan hukuman penjara 25 tahun terhadap perayu,” katanya yang mempengerusikan panel berkenaan bersama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan P Ravinthran.

Imam Wahyudin, 23, dari Puchong dan Jonius, 27, dari Sabah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2017 yang menjatuhi hukuman penjara 25 tahun terhadap mereka selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan melontar bom tangan di pusat hiburan Movida Boulevard Sdn Bhd di IOI Boulevard, Bandar Puchong Jaya, Puchong, jam 2 pagi pada 28 Jun, 2016.

Mereka juga dikenakan hukuman penjara tambahan 10 tahun setiap seorang kerana menyokong kumpulan militan Negara Islam (Daesh).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan memerintahkan kedua-dua lelaki itu menjalani hukuman penjara serentak bermula daripada tarikh mereka ditahan.

Imam Wahyudin, pekerja kilang, ditahan pada 29 Jun 2016, sementara Jonius, menganggur, pada 1 Julai 2016.

Kedua-dua mereka, yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah untuk meringankan hukuman.

Timbalan Pendakwa Raya K Mangai meminta mahkamah supaya mengekalkan hukuman penjara 25 tahun kerana kesalahan yang mereka lakukan adalah serius apabila lapan orang cedera dan letupan itu juga menyebabkan kerosakan pada harta benda.

– BERNAMA

Berita Harian X