Sabtu, 21 September 2019 | 7:13pm
Seorang bayi lelaki berusia 20 bulan maut dipercayai didera rakan serumah ibu mangsa di sebuah kediaman di Taman Hatib, di Semporna, semalam. - Foto hiasan

Bayi maut dipercayai didera rakan serumah ibu

SEMPORNA: Seorang bayi lelaki berusia 20 bulan maut dipercayai didera rakan serumah ibu mangsa di sebuah kediaman di Taman Hatib, di sini, semalam.

Muhammad Al Suhaimi AlSarif yang dikatakan ditampar, dilempar ke tilam, ditarik sehingga terkena besi katil dan dipijak, disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang di Hospital Semporna.

Berikutan itu, polis menahan empat remaja perempuan warga asing berusia 16 hingga 19 tahun pada hari sama selepas menerima laporan kejadian.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat, berkata berdasarkan laporan, ibu mangsa berusia 23 tahun membawa bayinya itu yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Unit Kecemasan Hospital Semporna.

Beliau berkata, mangsa kemudian diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun tiada tindak balas positif dan semakin kritikal beberapa jam kemudian sebelum disahkan meninggal dunia.

“Menurut saksi kejadian, seorang suspek didakwa menampar serta melempar bayi itu ke tilam, dan kemudian menariknya semula sehingga muka mangsa terkena besi katil. Seorang lagi suspek pula didakwa memijak belakang bayi terbabit.

“Apabila ibu bayi itu pulang ke tempat kejadian, dia dikatakan mendapati mangsa berada dalam keadaan lemah, pucat dan tidak bernafas sebelum membawanya ke hospital.

“Hasil penelitian mendapati ada kesan lebam di bahagian pipi kanan dan betis kiri bayi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sabarudin berkata, siasatan lanjut mendapati bayi itu dijaga sepenuhnya oleh ibu mangsa.

Bagaimanapun ketika kejadian, beliau berkata, mangsa dikata ditinggalkan di rumah bersama empat rakan ibu bayi itu.

“Empat suspek terbabit adalah rakan kepada ibu mangsa dan hanya menumpang tinggal bersama mereka di rumah berkenaan.

“Semua suspek ditahan pada hari sama kira-kira jam 9.30 malam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X