Ahad, 22 September 2019 | 4:46pm

Imigresen gempur ladang haram warga asing di Bukit Beruntung

BUKIT BERUNTUNG: Kedegilan warga asing, kebanyakannya Bangladesh bertahan di atas tanah kerajaan dan persendirian yang diceroboh mereka sebagai kebun sayur di sini, berakhir apabila kawasan itu digempur Jabatan Imigresen pagi ini.

Dalam gerakan seawal jam 6 pagi itu, seramai 160 anggota penguat kuasa Imigresen mengepung kawasan kebun sayur haram seluas 60 hektar sebelum memeriksa kongsi yang dijadikan kediaman warga asing berkenaan selama ini.

Hasil pemeriksaan itu, seramai 26 warga asing terdiri daripada 23 Bangladesh, dua Rohingya dan seorang Nepal ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam gerakan itu, penguat kuasa imigresen turut menyita sebuah lori yang sedang dipandu seorang lelaki warga Bangladesh memasuki kebun sayur berkenaan untuk mengambil bekalan sayur-sayuran kira-kira jam 7 pagi.

Mohamad Shukri berkata, ketika serbuan di antara jam 5 hingga 10 pagi itu, ada dalam kalangan pekerja asing itu sedang tidur, di samping ada yang sedang berkebun.

Beliau berkata, dalam usaha memastikan tiada warga asing yang terlepas, pihaknya mengepung kawasan terbabit yang mempunyai tiga laluan masuk utama.

"Kawasan kebun sayur yang luas dengan kongsi yang berselerak menyebabkan kami memerlukan jumlah keanggotaan yang ramai.

"Selain penguat kuasa Imigresen dari Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kami turut disertai petugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM)", katanya selepas operasi itu, pagi ini.


ANTARA warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Selangor selepas menggempur kebun sayur haram yang diusahakan atas tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, pagi ini. - Foto Ismail Mat

Pencerobohan warga asing yang mengerjakan kebun sayur di atas tanah kerajaan dan persendirian secara haram di Bukit Beruntung ini didedahkan oleh BH Ahad awal bulan ini.

Pencerobohan itu dipercayai dinaungi pihak tertentu sebelum warga asing itu membawa masuk adik beradik dan ahli keluarga untuk bekerja di kebun sayur itu sambil memperluaskan tanah yang diceroboh kerana kawasan berkenaan belum dibangunkan oleh kerajaan dan pemilik sebenar tanah itu.

Pejabat Tanah Hulu Selangor sudah memberi notis pengosongan kawasan berkenaan, namun penceroboh yang sudah mengerjakan tanah di situ sejak 10 tahun lalu, kelihatan berdegil apabila meneruskan kerja pembangunan kebun sayur di situ macam biasa.

Mohamad Nasir berkata pihaknya mendapati pencerobohan tanah oleh warga asing di situ boleh ditangani jika pemiliknya bertindak mengambil tahu kedudukan tanah berkenaan dari awal.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu sebelum menyusun gerakan menahan warga asing yang berkebun di situ kerana mereka dikesan mempunyai syif tertentu dalam mengusahakan tanah berkenaan.

Katanya, antara kesalahan Imigresen yang dilakukan warga asing yang ditahan di kawasan diceroboh itu termasuklah menyalah guna permit kerja dan tinggal di negara ini secara haram selepas tamat tempoh pas lawatan.

"Mereka dibawa pulang untuk siasatan lanjut termasuk mengesan siapa majikan masing-masing," katanya.

Tinjauan BH ketika operasi mendapati sebahagian pekerja asing berkenaan sedang bersiap untuk menguruskan bekalan sayur dari situ untuk dihantar ke Pasar Borong Selayang.

Dalam usaha melepaskan diri, ada dalam kalangan warga asing yang berpura-pura diserang sawan dan pengsan tetapi helah itu gagal mengelirukan penguat kuasa Imigresen dan lelaki terbabit mula menyerah apabila petugas perubatan APM tampil membuat pemeriksaan kesihatan.


ANTARA warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Selangor selepas menggempur kebun sayur haram yang diusahakan atas tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, pagi ini. - Foto Ismail Mat

ANTARA warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Selangor selepas menggempur kebun sayur haram yang diusahakan atas tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, pagi ini. - Foto Ismail Mat
PETUGAS perubatan Angkatan Pertahanan Awam membantu memeriksa keadaan seorang warga Bangladesh yang berpura-pura diserang sawan dan pengsan ketika ditahan oleh penguat kuasa Imigresen Selangor yang menggempur kebun sayur haram atas tanah kerajaan dan persendirian di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, pagi ini. - Foto Ismail Mat
Berita Harian X