Isnin, 23 September 2019 | 2:09pm
PEGUAM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla (kanan) ketika hadir pengurusan kes perbicaraan permohonan komital (menghina mahkamah) difailkan bapa Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung inkues kematian mangsa di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Prosiding komital tidak ganggu keputusan inkues - Haniff Khatri

SHAH ALAM: Prosiding kes permohonan komital (menghina mahkamah) difailkan bapa Muhammad Adib Mohd Kassim terhadap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berhubung inkues kematian mangsa, yang sedang berjalan ketika ini tidak mengganggu keputusan kes inkues terbabit Jumaat ini.

Peguam Haniff Khatri Abdulla, berkata bagi mengelakkan orang ramai daripada terkeliru, keputusan inkues dan prosiding komital terhadap Peguam Negara adalah dua perkara berbeza.

Pada masa sama, beliau berkata prosiding komital itu akan diteruskan walaupun ada beberapa prosiding lain termasuk notis rayuan yang difailkan pihak Peguam Negara di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 27 Ogos lalu, yang membenarkan permohonan komital itu.

Beliau yang mewakili keluarga Muhammad Adib, berkata pihak Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy, pada 29 Ogos lalu memfailkan notis rayuan manakala esok pihaknya akan memfailkan notis permohonan untuk mengetepikan notis rayuan Peguam Negara itu.

“Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Oktober ini untuk pengurusan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.

Sementara itu, Narkunavathy, ketika prosiding kes komital memberitahu Koroner Rofiah Mohamad, bahawa pihaknya memfailkan permohonan rayuan sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 Ogos lalu dengan 10 September lalu sebagai tarikh pengurusan kes.

Bagaimanapun, katanya, peguam keluarga Muhammad Adib tidak hadir pada tarikh berkenaan sebelum mahkamah sama menetapkan tarikh hari ini.

Katanya, pada prosiding hari ini, pihaknya dimaklumkan mahkamah bahawa permohonan notis rayuan keputusan Mahkamah Koroner itu ditukar kepada rayuan jenayah.

Justeru, katanya, mahkamah perlu menyediakan alasan kehakiman bertulis keputusan pada Ogos lalu untuk rayuan jenayah di Mahkamah Tinggi itu.

Rofiah kemudian menetapkan jam 11 pagi pada 7 Oktober ini untuk pengurusan kes komital itu.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital terhadap Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Berita Harian X